INFO PROGRAM
Kurikulum Program Kejuruteraan Mekanik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik USM distruktur dan direka bentuk dengan menitikberatkan pelbagai disiplin asas merangkumi 8 bidang utama iaitu Termobendalir, Mekanik Gunaan, Reka Bentuk, Matematik & Pengkomputeran, Pengukuran & Kawalan, Pembuatan, Makmal Kejuruteraan dan Pengurusan. Struktur kurikulum bagi program Kejuruteraan Mekanik dimantapkan dan diseimbangkan dengan permintaan semasa pemegang taruh terutamanya daripada pihak pemeriksa luar program, industri dan panel penasihat industri & komuniti dengan menawarkan beberapa kursus elektif yang mengkhususkan kepada Revolusi Industri 4.0 seperti penawaran kursus-kursus yang melibatkan Kecerdasan Buatan, Perlombongan Data dan IOT. Disamping itu, pemantapan projek pelajar dalam kursus Projek Tahun Akhir dan Projek Reka Bentuk Bersepadu dilaksanakan dengan menawarkan pelbagai projek daripada industri dan komuniti samada dalam bentuk penyelesaian permasalahan secara terus daripada industri & komuniti, penyelesaian permasalahan industri & komuniti melalui geran luar seperti PPRN dan juga penyelesaian permasalahan industri melalui pertandingan berprestij seperti Pertandingan Reka bentuk Inovasi Malaysia (Innovate).